TERENGGANU FC hari ini mengumumkan perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu menggantikan Abdul Rasid Jusoh selepas keputusan sebulat suara dicapai ketika Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kali ke-3 2023.

Mohd Sabri Abas telah dilantik sebagai CEO baharu sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC dan ini adalah lantikan baharu kedua dalam bola sepak Terengganu susulan perlantikan Ustaz Hishamuddin Abdul Karim sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada Ahad.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab, TFC menyatakan ahli Lembaga Pengarah melihat kredibiliti yang ada pada Sabri menyebabkan dia dipilih untuk memimpin kelab bola sepak yang sedang bersaing di peringkat Asia itu.

“Kami dari seluruh keluarga besar Terengganu Football Club ingin mengucapkan tahniah buat Mohd Sabri Abas atas pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) yang baharu.

“Keputusan pelantikan telah dibuat secara rasmi dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kali ke-3 tahun 2023 pada petang semalam yang telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Mohd Sabri Abas sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi di TFCSB dan antara individu yang banyak menyumbang dalam perkembangan kelab ini sejak berkhidmat bermula pada tahun 2020.

 

“Dengan mengambil kira dari pelbagai aspek pengurusan khususnya, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB melihatkan kredibiliti serta pengalaman yang dimiliki oleh beliau menjadikannya sebagai calon terbaik untuk menjadi peneraju TFCSB yang baharu.

“Keluarga besar Terengganu Football Club sekali lagi ingin mengucapkan tahniah serta selamat bertugas buat Encik Mohd Sabri Abas,” tulis kenyataan itu.

Pelantikan ini disambut baik penyokong Terengganu FC yang mahu melihat kelab ini pergi lebih jauh dalam setiap pertandingan dan menjadi antara kelab yang diuruskan secara profesional serta mempunyai nilai komersil bagi menarik lebih banyak sumber penajaan buat kelab.