JAGUH badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia melonjak ke ranking No. 6 dunia selepas bergelar juara Kejohanan Badminton Asia di Manila Ahad lalu.

Gelaran tersebut merupakan tonik terbaik buat pemain berusia 24 tahun itu sempena persiapan untuk Kejohanan Piala Thomas yang akan bermula dari 8 hingga 15 Mei ini di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Bagaimanapun, jurulatihnya, Indra Wijaya menegaskan bahawa pemain kelahiran Kedah itu mampu menampilkan persembahan yang lebih baik tetapi memerlukan masa dan usaha yang jitu untuk menjadi pemain lebih matang.

“Dia masih jauh daripada mempamerkan kebolehan sebenar, ianya akan datang dengan kerja keras serta perlu diberi masa.

“Masih ada aspek dalam permainannya yang perlukan kematangan,”kata Indra.

Piala Thomas kali ini menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama  Jepun, England dan Amerika Syarikat.

Malaysia akan memulakan kempen menentang England (9 Mei), diikuti Amerika Syarikat (10 Mei) dan aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Jepun (11 Mei).

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke peringat suku akhir.