JAGUH perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, akan mengucapkan selamat tinggal kepada jurulatihnya, Wong Tat Meng, selepas kontrak beliau tamat pada penghujung tahun ini.
Dalam satu kenyataan rasmi oleh pasukan Team LZJ, mereka menyatakan rasa berat hati tetapi penuh penghargaan terhadap keputusan Pengarah Kejurulatihan, Wong Tat Meng, untuk meneruskan fasa baharu dalam kerjayanya sebagai jurulatih.
“Sejak menyertai pasukan ini pada Julai 2023, jurulatih Tat Meng telah memainkan peranan penting dalam membantu Lee Zii Jia kembali ke kelompok 10 pemain terbaik dunia, meraih kejuaraan, dan membawa pulang pingat gangsa Olimpik dari Paris 2024,” menurut kenyataan tersebut.
Jurulatih Tat Meng akan terus berkhidmat bersama Team LZJ sehingga kontraknya tamat secara rasmi pada 31 Disember 2024. Beliau kini sedang mempersiapkan Zii Jia untuk saingan BWF World Tour Finals yang akan datang.
Team LZJ turut merakamkan penghargaan terhadap usaha keras, dedikasi, serta kebijaksanaan dan bimbingan yang telah diberikan oleh jurulatih Tat Meng sepanjang tempoh beliau bersama pasukan.
Sebagai persediaan untuk musim 2025 dan kitaran Olimpik seterusnya, Team LZJ akan melantik pengganti Wong Tat Meng, dan pengumuman mengenainya akan dibuat pada masa yang sesuai.
Perpisahan ini pastinya menjadi satu lembaran baharu dalam perjalanan karier Lee Zii Jia dan juga Wong Tat Meng, yang masing-masing membawa impian untuk terus gemilang dalam dunia badminton.