LEBIH 15,000 pelari dari Malaysia dan 22 negara membanjiri Lebuhraya Baru Pantai (NPE) serta Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) bagi memeriahkan IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara acara larian lebuh raya paling unik dan berprestij di negara ini.
Memasuki edisi kelapan, acara anjuran bersama IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad itu menawarkan pengalaman luar biasa kepada peserta apabila berlari di dua lebuh raya utama yang ditutup sepenuhnya kepada trafik, dengan New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE) dan BESRAYA (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penganjur acara.
Acara itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai usaha wajar dicontohi kerana mengaktifkan penggunaan lebuh raya sebagai ruang riadah dan sukan, selain memuji pengendalian acara yang berlangsung dengan lancar dan tersusun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, IJM Allianz Duo Highway Challenge kini berkembang menjadi platform yang menyatukan komuniti menerusi minat terhadap sukan larian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai
“Sepanjang lapan edisi penganjurannya, IJM Allianz Duo Highway Challenge telah berkembang menjadi sebuah platform yang menyatukan komuniti melalui minat terhadap sukan larian, di samping memperlihatkan bagaimana lebuh raya boleh dimanfaatkan sebagai ruang yang menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat. Kami kekal komited untuk terus meningkatkan piawaian penganjuran menerusi inovasi, kelestarian dan kecemerlangan operasi bagi memastikan setiap edisi memberikan pengalaman terbaik kepada para peserta,” katanya.
Acara yang mempertandingkan kategori maraton penuh 42.195 kilometer (km), separuh maraton 21km, larian 10km dan larian 5km itu turut mengekalkan pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai maraton pertama di lebuh raya tertutup sepenuhnya dan acara larian paling panjang di atas lebuh raya, selain diperakui World Athletics serta diiktiraf Association of International Marathons and Distance Races (AIMS), sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kalendar larian serantau.