TIADA tekanan. Itu pegangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjelang pertembungan pusingan kedua Malaysia Masters menentang pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita esok.

Pertemuan itu bakal menjadi yang pertama buat kedua-dua pasangan, dan Wei Chong menjelaskan bahawa mereka lebih fokus kepada prestasi sendiri berbanding terlalu memikirkan kekuatan lawan.

“Untuk game hari ini, saya rasa bukan yang terbaik bagi kita… tapi kita main dari belakang dan saya rasa okeylah. Cuma kena prepare lagi bagus,” kata Wei Chong ketika ditemui sejurus menewaskan pasangan India, Pruthvi Krishnamurthy-Sai Pratheek 21-15, 23-21.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Melaka itu mengakui ‘feeling’ permainan semakin pulih walaupun masih ada ruang besar yang perlu diperbaiki terutama dari aspek konsistensi.

“Feeling memang ada, bagus sikitlah… tapi pun ada gap besar juga kena improve. So, harap next match boleh makin solid,” tambahnya.

Menyentuh mengenai pasangan Jepun yang bakal mereka temui, Wei Chong berkata: “Kita pun tengok tadi mereka main sikit. Kita akan bincang dengan coach. Mereka okeylah, boleh fight. Sekarang semua standard lebih kurang.

“Target end of this year mungkin performance kita konsisten sikit. Tak kisah kalah awal tapi kalau performance bagus, boleh terima,” ujar Wei Chong sebelum mengakhiri temu bual ringkas itu.

Sejak menjuarai Masters Indonesia, pasangan nombor lapan dunia itu berdepan kesukaran mengekalkan prestasi apabila tersingkir awal dalam empat kejohanan berturut-turut termasuk di Terbuka Thailand minggu lalu.