PELUMBA Malaysia Pro Cycling (MPC), Ahmad Syazrin Awang llah mencipta sensasi di bumi China apabila menjuarai Peringkat 3: Xinxiang Weihui Criterium dalam perlumbaan berprestij, Guotai Cup – Along the Yellow River 2025.

Dalam aksi sejauh 88 kilometer yang menyaksikan saingan sengit dan berkelajuan tinggi, Syazrin tampil garang meninggalkan pencabar lain untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat pasukan, di pentas antarabangsa.

Lebih manis, kejayaan itu turut melonjakkan MPC ke tangga kedua keseluruhan bagi klasifikasi berpasukan peringkat ketiga, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam kalangan pasukan elit benua Asia.

“Ia satu kemenangan yang sangat bermakna buat kami. Ini bukan saja pembakar semangat untuk baki perlumbaan di China, malah jadi suntikan moral menjelang Kejohanan Berbasikal Kebangsaan tidak lama lagi,” kata Pengarah Pasukan, Sayuti Zahit.
Dengan dua lagi peringkat perlumbaan menanti, MPC kini memasang impian untuk terus konsisten dan membawa pulang lebih banyak kejayaan dari Henan, China.
