BAHANG pertembungan epik antara Manchester United dan ASEAN All-Stars kian terasa apabila penganjur mengesahkan sebanyak 56,500 tiket sudah pun terjual bagi perlawanan Maybank Challenge Cup Malaysia 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group, Julian Kam dalam sidang media eksklusif bersama legenda Manchester United, Ryan Giggs pada Sabtu lalu mengesahkan angka luar biasa itu, sekali gus membayangkan betapa tingginya keterujaan peminat terhadap kunjungan Red Devils ke Malaysia.

“Saya cuma nak beri kemas kini, setakat ini kita sudah jual 56,500 tiket. Ia bakal menjadi suasana yang terbaik dan saya harap semua orang dapat bersama-sama memeriahkan acara ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group, Julian Kam dalam sidang media eksklusif bersama legenda Manchester United, Ryan Giggs pada Sabtu lalu.

Selain kehadiran bintang-bintang United, perlawanan istimewa ini bakal menyaksikan skuad pilihan bintang Asia Tenggara mencabar nama besar dari Old Trafford, menjadikan ia antara perlawanan berprofil tinggi yang dinanti-nantikan peminat bola sepak serantau.

Julian turut mendedahkan bahawa senarai penuh pemain ASEAN All-Stars akan diumumkan minggu depan, sekali gus menambah debaran menjelang aksi yang dijangka berlangsung dengan penuh kemeriahan dan kelas tersendiri.

Dengan hanya berbaki kurang satu minggu sebelum sepak mula, jualan tiket yang pantas ini membuktikan reputasi Manchester United masih utuh dan terus menguasai hati peminat di Asia, khususnya di Malaysia yang terkenal sebagai antara pangkalan penyokong Red Devils paling setia di dunia.