AKSI permotoran paling hangat di Asia kembali memacu adrenalin peminat tempatan apabila Super GT Malaysia 2025 sah akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Lebih menarik, penganjur turut menawarkan satu cabutan bertuah eksklusif dengan hadiah utama sebuah Toyota GR Supra bernilai RM650,000 kepada pengunjung bertuah!

Acara pusingan ketiga siri perlumbaan Autobacs Super GT 2025 ini dibawakan oleh Haro Sports & Entertainment bersama Mastercard selaku rakan pembayaran rasmi. Hanya pembeli tiket menggunakan Mastercard dari 1 hingga 28 Jun akan layak menyertai cabutan bertuah ini. Antara kategori tiket termasuk Main Grandstand (RM250), GT Suite (RM350), GT Live! Rock Zone (RM500), GT Club Paddock (RM2,000), serta pakej eksklusif Experience, Ultimate dan Dream bermula RM5,000. Nama pemenang akan diumumkan secara langsung di pentas utama sewaktu konsert GT Live selepas perlumbaan.


Malaysia turut diwakili dua pelumba wildcard dalam kelas GT300 — Jazeman Jaafar yang akan bergandingan dengan pelumba Cina-Amerika, Kerong Li dalam jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO, serta Adrian D’Silva yang akan membentuk pasangan mantap bersama juara Le Mans, Earl Bamber.

Selain perlumbaan utama, acara ini turut menampilkan perlumbaan sokongan popular seperti Pusingan 2 Toyota Gazoo Racing Vios Challenge Musim 8 dan siri sulung GR86 Cup Malaysia. Kedua-dua perlumbaan dianjurkan oleh UMW Toyota Motor yang juga penaja utama pusingan Malaysia, dengan Bridgestone selaku pembekal tayar rasmi bagi GR86 Cup.

Festival ini bukan sekadar tentang deruman enjin — konsert GT Live bakal menyajikan persembahan hangat daripada artis viral Indonesia TNJ (Tenxi, Naykilla & Jemsii), kumpulan J-Pop wanita KLP48, serta nama-nama tempatan seperti FAREEDpf (K-Clique), Sabhi Saddi dan Kaka Azraff.

Turut menyerikan pusingan Malaysia adalah penyertaan rasmi dari Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), yang membawa pelbagai barangan eksklusif pasukan Samurai Biru seperti jersi replika, tuala skarf dan jaket tradisional ‘happi’ untuk dimenangi pengunjung bertuah.

Tiket kini boleh didapati menerusi laman rasmi Super GT Malaysia. Jadi, buat peminat perlumbaan, muzik dan pengalaman gaya hidup berkelas dunia — inilah acara wajib hadir bulan Jun ini!