SAINGAN Liga Malaysia musim 2025 bakal lebih meriah dan berwarna-warni dengan penyertaan semula kelab ternama Brunei, DPMM FC yang sah menyertai Liga Super selepas menandatangani perjanjian bersama Malaysian Football League (MFL) untuk tempoh 2025 hingga 2028. Perkembangan ini bukan sekadar kemasukan sebuah pasukan, tetapi simbol kepada penyatuan dan integrasi bola sepak serantau yang semakin kukuh.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut berlangsung penuh simbolik di Hotel Thistle, Johor Bahru pada 3 Jun, dengan kehadiran Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dan Pengurus Besar DPMM FC, Md Ali Haji Momin yang masing-masing menyuarakan keterujaan terhadap jalinan kerjasama ini. DPMM FC yang kali terakhir beraksi dalam Liga Super pada 2008 kini kembali dengan misi memperkayakan landskap bola sepak tempatan dan meningkatkan nilai kompetitif liga.
Brunei bukan asing dalam arena bola sepak Malaysia. Dari penampilan pertama mereka dalam Piala Malaysia 1979 hingga kejayaan menjulang trofi edisi 1999, penyertaan semula DPMM FC kali ini menyambung semula legasi bola sepak serantau yang pernah mewarnai sejarah Liga Malaysia. Lebih menarik, kelab itu turut pernah mencipta pencapaian membanggakan apabila menamatkan musim 2005-2006 di tempat ketiga Liga Super.
Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani menyifatkan kemasukan DPMM FC sebagai langkah strategik bukan sahaja dalam memperkasa persaingan, tetapi juga membuka peluang kepada jalinan dua hala dalam pembangunan bola sepak ASEAN. “Kemasukan DPMM FC ini bukan sahaja menyegarkan semula persaingan, malah mengukuhkan semangat kejiranan dan kebersamaan dalam kalangan negara serantau,” katanya.

FOTO:MFL
Pengurus Besar DPMM FC pula menyatakan harapan agar penyertaan ini dapat memberi pengalaman baharu kepada para pemain sambil memperkukuh hubungan diplomatik sukan antara Brunei dan Malaysia. Tambahnya lagi, penyokong di Brunei juga sudah lama menantikan detik ini dan bakal memberi sokongan penuh kepada pasukan kesayangan mereka.
Langkah ini turut mendapat sokongan padu daripada tokoh-tokoh utama bola sepak rantau ini termasuk Ahli Majlis FIFA, Tan Sri Hamidin Mohd Amin serta barisan kepimpinan FAM dan MFL. Dengan penyertaan DPMM FC, Liga Malaysia bukan sekadar menjadi lebih kompetitif, malah turut menjadi pentas penting dalam menyatukan bola sepak Asia Tenggara.