DI sebalik kehangatan isu pasukan bergelut kewangan dan ancaman tarik diri menjelang musim baharu Liga Malaysia, dua kelab underdog Kuching City FC dan Penang FC tampil sebagai contoh pengurusan cemerlang yang wajar dipuji oleh seluruh ekosistem bola sepak negara.

Menurut pemerhati sukan negara, Christopher Raj menerusi siaran Nindia Bola, kedua-dua pasukan ini berjaya memperoleh markah penuh dalam piawaian perlesenan kelab termasuk aspek pembayaran gaji, urusan dengan agensi kerajaan, serta rekod bebas hutang.

Pemerhati Sukan Negara, Christopher Raj dijemput di siaran Nindia Bola

Kuching City malah digambarkan sebagai kelab yang paling mengagumkan dalam senarai kerana mampu kekal konsisten dengan bajet sama sejak 2021 tanpa menjejaskan kebajikan pasukan.

Tambahnya, kejayaan ini menunjukkan bahawa dengan struktur kewangan yang kukuh dan disiplin pengurusan, sesebuah kelab bola sepak masih mampu berfungsi dengan efisien walaupun tidak mempunyai dana besar seperti Johor Darul Takzim atau Selangor FC.

Pujian terhadap Kuching City dan Penang FC ini dilihat sebagai satu mesej penting bahawa kelangsungan kelab bola sepak bukan sekadar soal prestasi di atas padang, tetapi berpunca dari kecekapan urus tadbir di belakang tabir.

Di saat ramai hanya memandang kelab besar, dua kelab ini membuktikan bahawa kejayaan sebenar bermula dengan kestabilan asas.