WALAUPUN misi di bumi Poland boleh diibaratkan seperti mendaki laluan berliku, namun sasaran untuk mara ke separuh akhir pada Kejohanan Hoki Wanita Piala Negara-Negara 2 (Nations Cup 2) tetap dianggap realistik buat skuad negara.

Bakal membuka tirai pada 16 hingga 22 Jun ini, kejohanan yang menghimpunkan lapan pasukan itu menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Afrika Selatan, Uruguay dan tuan rumah, Poland.

Berdasarkan ranking dunia semasa, skuad negara di tangga ke-23 adalah pasukan kedua terkuat kumpulan di belakang Afrika Selatan (21).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, sasaran ke separuh akhir sudah dibincangkan secara terperinci bersama barisan kejurulatihan dan ianya dilihat mampu dicapai sekiranya pemain tampil konsisten.

“Format kejohanan ini sama seperti kejohanan lelaki, dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir. Jadi, fokus utama kita adalah memastikan tempat dua terbaik Kumpulan A. Dari situ barulah kita bincang langkah seterusnya,” katanya, pada sidang media khas pasukan di Bukit Jalil, hari ini.

Majlis yang turut memperkenalkan jersi baharu tajaan Mizuno itu turut dihadiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Jurulatih skuad wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim serta Pengurus Pemasaran (Negara) Mizuno, Darren Wong.

Sementara itu, Nasihin Nubli tidak mahu anak buahnya leka dengan kelebihan ranking semata-mata, sebaliknya menegaskan setiap pasukan dalam kumpulan A, khususnya Poland yang berada di ranking ke-27, tetap menjadi ancaman besar.

“Poland ini pasukan yang sangat sukar diramal. Ranking tidak menggambarkan kekuatan mereka. Mereka bermain di tempat sendiri dan pasti akan berikan segala-galanya. Jadi kita perlu sentiasa berwaspada dari wisel pertama hingga terakhir,” tegasnya.