RAJA larian menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching, membuktikan semangat juang luar biasa apabila berjaya memanjat tangga Menara Merdeka 118 sebanyak empat kali sepanjang dua hari penganjuran kejohanan Sky Race.

Mula beraksi pada Sabtu lalu, beliau berjaya merangkul gelaran naib juara keseluruhan bagi kategori terbuka kompetitif 18 tahun ke atas selepas merekodkan masa 15 minit 48 saat.

“Keesokan harinya, saya lari lagi sekali secara solo untuk uji diri, dan saya berjaya capai masa 16 minit 34 saat untuk dapat tempat keempat keseluruhan,” kata beliau melalui panggilan telefon.

Keputusan beliau untuk beraksi sebanyak empat kali itu dibuat untuk menguji had kemampuan fizikal serta mentalnya di samping memberi sokongan penuh kepada pembangunan sukan berkenaan.

“Saya membentuk satu pasukan campuran bersama dua bakat muda tanah air yang meningkat naik, iaitu Raisha dan Ayman, bagi mencungkil potensi mereka.

“Kemudian pada jam 10 pagi pula, saya lari sekali lagi bersama videographer dan kawan saya untuk push mereka dapat personal best, sebelum saya kembali naik tangga secara solo pada pukul 12 tengah hari,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Soh Wai Ching menganggap kegagalannya meraih gelaran juara di belakang pelari menara nombor dua dunia dari Jepun, Ryoji Watanabe, kerana komitmen luar gelanggang yang mempengaruhi tahap kecergasannya.

Beliau berkata kemerosotan tenaga secara mendadak dikesan mula berlaku apabila beliau melangkah ke tingkat 85 dan gagal mengekalkan kelajuan asal.

“Masa tingkat 85 ke atas, fikiran negatif mula datang kerana beza dengan tahun lepas semasa saya buat rekod, saya belum ada anak dan kini fikiran saya dah bertukar tidak boleh berjuang mati-matian sebab ada komitmen pada keluarga,” jelasnya.

Mengulas kekalahan tipis itu, Wai Ching menerima keputusan tersebut secara terbuka dan menganggapnya sebagai satu perkembangan positif buat sukan larian menara.

“Kadang-kala tempat kedua buat saya belajar lebih banyak benda berbanding tempat pertama kerana kalau selalu menang, agak susah untuk kita perbaiki kelemahan diri,” ujarnya.

Soh Wai Ching kini mengalihkan fokus kepada misi seterusnya untuk mencatat nama dalam Malaysia Book of Records menerusi larian di Menara Komtar serta Penang Hill Heritage Trail sempena minggu Merdeka.