TATKALA ribuan penyokong Harimau Malaya dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bagi menyaksikan aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan ramalan cuaca yang perlu diberi perhatian.

Menurut infografik rasmi yang dikeluarkan, cuaca pada 10 Jun 2025 diramalkan hujan pada waktu petang, namun diramalkan tiada hujan di sebelah malam. Ini menjadikan perlawanan malam ini bukan sahaja ujian fizikal buat para pemain, malah ujian ketahanan buat para penyokong di luar padang.

FOTO:METMalaysia

Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan masing-masing, para penyokong dinasihatkan untuk membawa baju hujan atau ponco plastik sebagai persediaan menghadapi cuaca tidak menentu. Langkah ini bukan sahaja membantu mengelakkan basah kuyup, malah membolehkan anda terus memberi sorakan padu tanpa gangguan.

Kepada mereka yang hadir lebih awal ke stadium, pastikan anda berlindung di kawasan selamat sekiranya berlaku kilat atau ribut petir. Pihak keselamatan juga dijangka akan memantau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan semuanya berjalan lancar.