PULAPOL KL A membuktikan keampuhan mereka apabila merangkul kejuaraan Kejohanan Pahlawan Millefleur Bola Sepak 9 Sebelah 2025, selepas menewaskan Draz Ukhwah dari Perak menerusi penentuan penalti dramatik 3-2, pada Isnin.
Aksi final di Kuala Lumpur itu berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan buntu tanpa jaringan dalam masa penuh, sebelum PULAPOL KL A tampil tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk membawa pulang RM10,000 berserta trofi kejuaraan.
Draz Ukhwah berpuas hati di tangga kedua dengan habuan RM8,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing milik Alaxis FC (RM6,000) dan Millefleur FC ‘B’ (RM4,000).

Surrendren Sathasivam (kanan) dan Komandan PULAPOL KL, DCP Alzafni Ahmad (kiri)
turut menyampaikan hadiah Kasut Emas kepada penjaring terbanyak kejohanan.
Turut mencuri tumpuan, Mohamad Kairol Abedol Latif dari PULAPOL FC dipilih Pemain Terbaik, sementara Muhammad Farhan Ab Hamid (Millefleur FC ‘B’) dinobat Penjaring Terbanyak dan Draz Ukhwah diumumkan Pasukan Fair Play.
Kejohanan selama tiga hari itu disertai hampir 100 pasukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, menjadikannya antara saingan bola sepak 9 sebelah paling meriah di ibu negara tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Surrendren Sathasivam merasmikan penutup kejohanan dan menyifatkan penganjuran itu sebagai platform belia menonjolkan bakat serta mengukuhkan perpaduan komuniti.
“Kita bangga dengan sambutan luar biasa. Ini bukti sukan mampu satukan rakyat,” kata wakil penganjur, Imtiaz Saudi dari Golden Millefleur Sdn Bhd.