SKUAD memanah compound wanita negara bikin kejutan luar biasa apabila merangkul emas sulung di Piala Asia 2025 selepas menewaskan pilihan utama, India, dalam aksi final penuh dramatik di Bukit Gombak, sebentar tadi.
Biar hanya diletakkan sebagai pilihan ketiga, gandingan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Ng Sui Kim tampil tenang untuk mengheret perlawanan ke penentuan shoot-off selepas terikat 232-232 dalam empat pusingan mendebarkan.
Di saat tekanan memuncak, ketiga-tiga pemanah negara tidak goyah sebaliknya mempamerkan ketepatan luar biasa apabila mencatat 29 mata berbanding 26 yang diraih India, sekali gus memastikan emas bersejarah jadi milik Malaysia.

Fatin Nurfatehah Mat Salleh memimpin trio negara dengan baik. FOTO|World Archery
“Atas kertas memang India pilihan, tapi saya cakap pada rakan-rakan, ini pentas final pertama kami… jadi kita buat yang terbaik. Bila diheret ke shoot-off, kami tahu ini peluang yang tak boleh dilepaskan,” kata Fatin yang tidak dapat menahan sebak sejurus tamat aksi.
Lebih manis, kemenangan itu bukan sekadar menumpaskan gergasi Asia, malah jadi amaran awal bahawa Malaysia sudah mula mengganas dalam acara compound wanita yang sebelum ini didominasi negara lain.
Ini juga pencapaian terbaik skuad compound wanita negara di pentas Piala Asia, sekali gus menjadi pencetus semangat menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun nanti.
“Kemenangan ini bukti kerja keras kami selama ini mula membuahkan hasil. Tapi perjalanan masih jauh, kami mahu buktikan sesuatu di Bangkok nanti,” kata Saritha yang mahu jadikan kejayaan ini sebagai pemangkin motivasi skuad negara.