GELARAN di Kejohanan Badminton Dunia jadi fokus utama, bukan kejar status nombor satu dunia.
Itu penegasan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi yang mahu Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberi tumpuan penuh kepada misi memburu gelaran dunia kedua di Paris Ogos depan.
“Ranking nombor satu itu bukan sasaran utama kami. Yang penting ialah persiapan ke Kejohanan Dunia. Kalau dapat ranking tinggi sebelum itu, bagus… tapi bukan keutamaan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi yakin ranking penting untuk mendapatkan seeding, tetapi matlamat utama adalah gelaran jaura dunia.
Menurut Herry, pengalaman menjuarai edisi 2022 jadi kelebihan besar buat Aaron-Wooi Yik untuk sekali lagi menggegar pentas dunia, dengan peluang cerah memperbaiki kedudukan undian berdasarkan prestasi semasa.
Ketika ini, Aaron-Wooi Yik berada di ranking kedua dunia dengan 89,870 mata – hanya dipisahkan 1,220 mata di belakang Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang memimpin carta.
Dengan dua kejohanan penting – Terbuka Jepun dan Terbuka China – bulan depan, peluang untuk memintas tetap ada, namun fokus utama tetap Kejohanan Dunia.
“Apa pun ranking mereka nanti, kita tetap kena lawan siapa saja. Ranking tak jamin kemenangan, tapi persiapan yang rapi boleh buatkan kita juara,” tegas Herry.