SPEKULASI mengenai masa depan gandingan beregu wanita negara akhirnya terlerai apabila Pearly Tan dan M Thinaah sah kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menandatangani kontrak baharu, petang tadi.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kedua-dua pemain itu akan terus menyarung jersi kebangsaan sehingga temasya Olimpik Los Angeles 2028, sekali gus menamatkan kemelut yang berlarutan sejak lebih enam bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan kononnya pasangan ranking ketiga dunia itu menerima bayaran mencecah RM2 juta setahun, malah enggan mengesahkan jumlah sebenar walaupun ada laporan mengatakan ia sekitar RM1 juta.

“Mereka sudah tandatangan jam 6.31 petang tadi. Saya yakin dan optimis dengan keputusan ini kerana ia mencerminkan kepercayaan BAM terhadap prestasi Pearly-Thinaah,” katanya, dalam sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Jelasnya, prestasi semasa pasangan berkenaan akan terus dipantau dan BAM tidak menolak kemungkinan mereka bakal menerima insentif tambahan sekiranya mencapai sasaran ditetapkan pada peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan butiran kontrak termasuk tempoh serta terma perjanjian tidak akan didedahkan seperti amalan biasa BAM sebelum ini, namun menekankan bahawa imbuhan setimpal akan diberikan berdasarkan pencapaian.

Dengan kontrak kini rasmi, Pearly-Thinaah akan mengalih fokus ke tiga kejohanan utama, Terbuka Jepun, Terbuka China dan Kejohanan Dunia di Paris, sebagai persiapan penting menjelang penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik tahun depan.