PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi perlu kekal berlatih dalam persekitaran dan persaingan tinggi selepas menamatkan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) tahun depan bagi memastikan prestasinya terus berkembang.

Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad berharap Azeem memilih lokasi terbaik untuk memaksimumkan potensi dirinya.

Nazmizan Muhammad yakin Azeem bijak merancang masa depan.

Nazmizan menjelaskan, selain AS, Eropah adalah antara pilihan ideal memandangkan suasana latihannya yang lebih kompetitif dan akses kepada pelari bertaraf dunia sebagai sparring partner selain banyak kejohanan boleh disertai.

“Kalau dia belum ada keputusan lagi, saya harap dia pertimbangkan Eropah kerana di sana banyak kejohanan dan timing mereka konsisten tinggi,” katanya, kepada Flash Sukan.

Menurutnya, Azeem kini berusia 21 tahun, bakal memasuki fasa emas sebagai pelari apabila prestasi sebenar biasanya meledak sekitar usia 25 hingga 26 tahun.

Muhammad Azeem Fahmi sudah berpengalaman berlatih dan berlari bersama jagoan dunia yang memiliki catatan bawah 10 saat. -Pix Agency

Dalam pada itu, Nazmizan menegaskan, biarpun Azeem belum memenangi gelaran utama (memenangi perlumbaan), namun catatan masa yang konsisten pantas lebih penting dalam acara 100 meter.

“Bila timing dia bagus, dia boleh layak ke mana-mana kejohanan besar… itu lebih utama dari soal gelaran,” katanya.