GANDINGAN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak terburu-buru mengejar semula status beregu nombor satu dunia yang kini dirampas pasangan Korea Selatan, Kang Won Ho-Seo Seung Jae.
Menurut Sze Fei, mereka hanya mahu menikmati permainan dan memberikan yang terbaik tanpa menambah tekanan memikirkan kedudukan ranking yang akan berubah dalam senarai kemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) esok.
Dalam perlawanan terbaru menentang pasangan Korea itu, mereka memberi tentangan sengit terutama pada set kedua namun gagal mengekalkan momentum di penghujung perlawanan untuk berpuas hati sebagai naib juara Terbuka Jepun, pada Ahad.
Izzuddin mengakui mereka cuba mengejar rentak laju pihak lawan, namun lawan berjaya mengawal permainan dengan lebih kemas pada saat-saat akhir.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bakal menghuni ranking keempat dunia bermula minggu ini.
Sze Fei pula menjelaskan bahawa kelajuan permainan Won Ho-Seung Jae sukar di tangani, walaupun telah cuba menyesuaikan diri.
“Kami tak kejar sesiapa, kami hanya fokus pada diri sendiri dan perjalanan kami masih panjang,” kata Izzuddin ringkas.
Pada Terbuka China yang akan bermula esok, Sze Fei-Nur Izzuddin akan berdepan satu lagi pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.
Wakil negara yang lain, Choong Hon Jian-Haikal Nazri akan berdepan Fajar Alfian-Sohibul Fikri (Indonesia), Ong Yew Sin-Teo Ee Tu menentang Ren Xiang Yu-Sun Wen Jun (China), Nur Azryn Ayub-Tan Wee Kiong menentang Lee Fang Chieh-Lee Fang Jen (Chinese Taipei), Arif Junaidi-Yap Roy King pula berdepan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
SementaraAaron Chia-Soh Wooi Yik bakal dicabar pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.