TINDAKAN Thailand belum memuktamadkan venue pertandingan sepak takraw di Sukan SEA hujung tahun ini menimbulkan kegusaran skuad negara, yang bimbang insiden di kejohanan Piala Raja Thai Julai lalu, berulang lagi.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, timbul dua versi lokasi pertandingan, Songkhla dan Bangkok, sekali gus wujud kebimbangan jadual padat yang disifatkan ‘cacamarba’ akan berulang sekali lagi.

Beliau mendedahkan di Piala Raja Thai, ada perlawanan yang berlarutan hingga jam 2 pagi, malah ada yang ditangguhkan antara dua hingga enam jam sebelum disambung keesokan harinya.

“Jadual seperti itu amat mengganggu momentum pemain yang sudah bersedia secara mental dan fizikal, malah ia menjadi salah satu punca pemain kita, Afifuddin mengalami kecederaan,” katanya.

Istaf perlu bertindak memastikan jadual pwrlawanan di setiap kejohanan disusun dengan baik. -Datuk Sumali Reduan, Presoden PSM.

Sumali menjelaskan beliau sudah menyuarakan bantahan secara rasmi dalam Kongres Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan meminta pihak penganjur Thailand mengambil serius perkara ini.

“Saya mohon supaya penganjur menyediakan gelanggang mencukupi dan jadual yang munasabah, apatah lagi Sukan SEA adalah temasya besar di rantau ini,” tegasnya.

Dalam kempen Piala Raja Thai baru-baru ini, kejohanan berpangsung di Central Hatyai, Songkhla dan venue itu sekali lagi disebut-sebut menjadi tuan rumah sukan sepak takraw selain Nakhon Pathom Municipality di Bangkok, yang turut disebut-sebut.

Pada temasya Sukan SEA kali ini, skuad negara akan menurunkan 18 pemain lelaki dan 15 pemain wanita di bawah Kategori A dengan peraturan baharu mengehadkan setiap pemain hanya boleh beraksi maksimum dua acara.