LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei antara empat muka baharu dilantik sebagai ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan perkara itu berkata, Chong Wei akan bertanggungjawab memantau pembangunan atlet dan prestasi.

Chong Wei bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Shazali Ramly; Pegawai Pelaburan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Tan Sri Gooi Hoe Soon dan peguam, Datuk Sunil Abraham adalah ahli majlis lantikan presiden.

“Pelantikan ini bukan sekadar simbolik, tetapi tanda kita serius mahu melibatkan tokoh berpengalaman dalam menentukan hala tuju badminton negara,” katanya, pada sidang media selepas mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Kehadiran Chong Wei diyakini mampu menjadi jambatan antara pengurusan BAM dengan pemain, jurulatih serta komuniti badminton yang menyanjung pandangan beliau sebagai legenda dunia.

“BAM perlukan suara seperti beliau supaya hala tuju baharu tidak hanya cantik di atas kertas, tetapi benar-benar diterjemahkan di gelanggang,” tegas Zafrul yang mahu transformasi BAM diterjemahkan kepada Piala Thomas, emas Olimpik dan status nombor 1 dunia.

Sementara itu, BAM menerima penajaan kenderaan rasmi daripada Perodua Malaysia iaitu kenderaan pelbagai guna, Perodua Aruz.