BUKAN semua pemain mampu cemerlang di laman sendiri dan itulah yang terjadi kepada beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, apabila tekanan memuncak menjadi penghalang utama, pada Badminton Terbuka Malaysia 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei mengakui bermain di hadapan penyokong sendiri bukan kelebihan mutlak kerana tidak semua atlet mampu mengawal tekanan emosi.

“Memang bukan semua pemain boleh main di home ground, ada orang boleh, ada orang tak boleh,” kata Lee Chong Wei mengulas kegagalan Pearly-Thinaah menampilkan prestasi sebenar.

Bekas jaguh dunia itu mendedahkan Pearly dan Thinaah sendiri mengakui sukar beraksi di laman sendiri kerana tekanan tinggi untuk memberi yang terbaik kepada peminat dan negara.

“Saya turun jumpa mereka lepas perlawanan, masa itu mereka menangis, saya cakap nak menangis atau nak marah, buat sekarang, esok hari baru,” katanya yang memahami kekecewaan itu sebagai bekas atlet.

Menurut Chong Wei, tekanan di Terbuka Malaysia sering membuatkan pemain kelihatan kaku dan pergerakan menjadi perlahan bukan kerana kekurangan kemahiran, tetapi beban psikologi.

“Main di tempat sendiri ini tekanannya lebih berat di bahu sebab kita mahu perform untuk rakyat dan negara,” jelasnya sambil mengakui beliau sendiri tidak gemar beraksi di Malaysia Open ketika bergelar pemain.

Namun, bekas pemain nomnor satu dunia itu menegaskan kekalahan perlu dijadikan pengajaran kerana fokus kini beralih kepada Terbuka India Super 750 dan Terbuka Indonesia dengan harapan Pearly-Thinaah mampu bangkit lebih kuat.

Terbuka Malaysia yang berakhir semalam menyaksikan, Pearly-Thinaah kandas di pusingan kedua selepas tunduk kepada lawan dari Indonesia, Febriana Dwipuji-Meilysa Trias yang ditewaskan mereka pada final Sukan SEA Thailand kira-kira sebulan lalu.