PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan titah supaya gejala buli dibendung segera demi memastikan setiap institusi pendidikan menjadi zon selamat untuk kanak-kanak.
Baginda bersama Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor berkenan berangkat melawat adik Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, yang menjadi mangsa buli hingga mengalami gegaran otak dan menjejaskan kehidupannya.

Tunku Mahkota Ismail bersama Tunku Iskandar menyampaikan sumbangan kepada mangsa buli, adik Izzul Islam. | FOTO Akaun X Tuanku Ismail
Keberangkatan Baginda ke Hospital Pakar Puteri KPJ Johor Bahru turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan pemain JDT, Arif Aiman.
“Gejala buli harus dibendung dan langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan kadar segera,” titah Baginda selepas menziarahi mangsa.

Pemain JDT, Arif Aiman turut menziarah adik Izzul Islam dan menyerahkan jersi JDT sebagai tanda sokongan moral kepada mangsa buli itu. |FOTO Akaun X Tuanku Ismail
Baginda menegaskan keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua pihak dan tidak boleh dipandang ringan walau di mana mereka berada.
Menurut Baginda, institusi pendidikan wajib menjadi ruang yang melindungi murid, bukan medan yang mencetuskan trauma atau bahaya kepada mereka.
Titah itu sekali gus mencerminkan keprihatinan institusi diraja Johor terhadap isu buli yang semakin membimbangkan masyarakat.