NAMA Richard Chin akhirnya tersenarai dalam skuad Harimau Malaya apabila ketua jurulatih, Peter Cklamovski memanggil pemain berusia 22 tahun itu untuk menyertai kem latihan pusat bermula 1 September ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya.

Pemain kacukan yang beraksi bersama Raith Rovers itu antara empat muka baharu dipanggil kali ini selain Sergio Aguero, Suhaimi Husin dan Azam Azmi Murad. Kehadiran mereka melengkapkan senarai 29 pemain untuk menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 menentang Singapura dan Palestin.

Cklamovski mengekalkan 25 pemain daripada skuad yang menewaskan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027, dengan penambahan Richard dianggap sebagai suntikan segar buat jentera sayap negara. Pemain kelahiran England itu mampu beraksi di posisi bek kanan mahupun sayap, memberikan lebih variasi taktikal buat Harimau Malaya.

Skuad kebangsaan akan membuka tirai aksi menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September sebelum berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, untuk menentang Palestin pada 8 September.

Kemunculan pertama Richard Chin dijangka menjadi perhatian penyokong tempatan yang pastinya ingin melihat bagaimana pemain muda ini mampu menyesuaikan diri dengan sistem Cklamovski serta bergandingan bersama tonggak utama Harimau Malaya.