KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal memberikan kemenangan selepas sekali lagi tewas kepada Oman 0-2 dalam aksi keempat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengendali asal Republik Korea itu juga tidak mahu para pemainnya dikritik sebaliknya dia bertanggungjawab atas keputusan ini dan dia sedia dikritik selepas risiko yang diambilnya dalam perlawanan ini tidak membuahkan hasil.
Namun begitu dia masih optimis Malaysia mampu layak ke peringkat seterusnya kerana masih ada dua perlawanan yang perlu dihadapi pada Jun dan turut mengharapkan keajaiban.
“Ini adalah perlawanan yang sukar dan pertama sekali saya sebagai ketua jurulatih meminta maaf kepada penyokong kerana tidak dapat beri keputusan yang baik dan terima kasih kerana hadir berikan sokongan.
“Pemain sudah lakukan yang terbaik meskipun dalam keadaan yang sukar dan banyak perkara luar kawalan yang berlaku dalam perlawanan ini. Mereka berlari tidak henti dan saya bangga dengan mereka.
“Saya rasakan kita tidak harus tewas dan pemain tidak patut menerima kritikan dan jika penyokong mahu mengkritik, sila kritik ketua jurulatih,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di hadapan 26,449 orang penyokong itu, Harimau Malaya dikecewakan dua gol lewat pada setiap babak dan kini perlu menang dalam baki dua perlawanan menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.
Meskipun tewas, Pan-gon gembira dengan komitmen yang ditunjukkan para pemain yang tidak kehilangan karakter Harimau Malaya walaupun gagal menembusi pertahanan Oman.
“Kita masih ada dua perlawanan dan sekiranya ada keajaiban, kita masih ada peluang untuk layak oleh itu kita jangan putus asa dan berjuang bersama-sama hingga akhir kerana kekalahan ini bukanlah penamat dunia.
“Pelan permainan kami adalah mahu menewaskan mereka di hadapan penyokong sendiri dan saya tidak mahu pemain kehilangan karakter walaupun saya mengambil risiko dengan mengurangkan pertahanan dan menambah pemain serangan,” jelasnya.
Dalam sidang media yang sama, Pan-gon lebih memilih untuk tidak menjawab beberapa soalan kerana baginya semua perkara boleh dipertikaikan selepas tamat perlawanan kerana tidak semua faham situasi sebenar yang dihadapi pemain pada kem latihan pusat kali ini.
Kekalahan menyaksikan Malaysia kekal di tangga ketiga dengan enam mata selepas empat perlawanan dan Pan-gon berharap pemain-pemain akan lebih cergas untuk mengharungi dua perlawanan terakhir kumpulan pada Jun.