KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menegaskan skuad kendaliannya bersedia menghadapi apa jua cabaran apabila turun menentang Singapura dan Palestin pada aksi persahabatan Tier 1 bulan depan, termasuk dari segi perjalanan dan venue berbeza yang bakal dilalui sepanjang kem kali ini.
Clamovski berkata, walaupun beliau lebih gemar beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana suasana luar biasa yang dihidangkan penyokong, berpindah venue ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri adalah sebahagian daripada simulasi persediaan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos Oktober depan. Menurutnya, perjalanan pertengahan kem ini akan membantu pemain membiasakan diri dengan situasi sebenar apabila terpaksa bermain di tempat lawan.
“Kalau ikut hati, memang mahu kedua-dua perlawanan diadakan di Bukit Jalil kerana suasananya cukup istimewa, tapi perjalanan ini sendiri adalah persiapan mental dan fizikal untuk pasukan. Apa yang penting, di mana pun kita bermain, tiada apa yang mampu menghentikan Harimau Malaya,” katanya penuh keyakinan pada sidang media pengumuman senarai pemain di Wisma FAM, hari ini.
Mengulas mengenai dua perlawanan persahabatan itu, Clamovski menegaskan sasaran utamanya ialah mempersembahkan corak bola sepak terbaik dengan penekanan kepada kekuatan kolektif pasukan. Katanya, beliau mahu mengekalkan rentak positif yang telah ditunjukkan dalam tiga aksi terakhir, selain memastikan penyokong berbangga dengan semangat juang skuad negara.
“Yang penting, kami bermain dengan penuh semangat, mengekalkan konsistensi dan mempersembahkan satu persembahan yang membuat semua orang bangga. Harapnya, kami dapat menjaringkan sebanyak mungkin gol bertemu lawan yang berkualiti,” katanya.
Bagi Clamovski, Singapura dan Palestin bakal menghadirkan cabaran berbeza kepada Harimau Malaya dengan Palestin yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia disifatkan sebagai ujian fizikal yang cukup getir. Bagaimanapun, beliau menegaskan fokus pasukan buat masa ini adalah kepada aksi pertama menentang Singapura pada 4 September, sebelum mengalihkan perhatian kepada Palestin empat hari kemudian.
“Singapura ada kekuatan tersendiri, mereka akan beri cabaran yang berbeza dari sudut bola sepak, manakala Palestin pula lawan yang sukar dan akan benar-benar menguji kemampuan fizikal serta taktikal kami. Apa pun, yang penting adalah fokus kepada prestasi pasukan sendiri dan memastikan kami pulang dengan kemenangan,” jelasnya.