BERBEZA dengan tokoh politik seperti Khairy Jamaluddin dan tokoh korporat Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang enggan mengulas apabila dikaitkan sebagai calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bekas penyerang prolifik Harimau Malaya, Safee Sali, tampil lebih berani dengan menyatakan kesediaannya untuk bertanding merebut kerusi nombor satu badan induk itu.

Mantan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) itu menegaskan, beliau sudah lebih 23 tahun bergelumang dalam dunia bola sepak dalam pelbagai kapasiti, selain kerap menghadiri sidang bola sepak antarabangsa yang memberinya pengalaman luas mengenai bagaimana sukan nombor satu dunia ini diuruskan di negara-negara maju.

“Saya bersedia bertanding jawatan Presiden FAM. Saya masih aktif dalam bola sepak di peringkat akar umbi, selain terbabit sebagai pengulas dan pundit. Mengurus bola sepak negara bukan hanya mengenai skuad kebangsaan, tetapi meliputi keseluruhan ekosistem sukan ini,” jelas Safee kepada Flash Sukan.

Legenda Harimau Malaya yang muncul penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu turut menekankan keutamaan terhadap pembangunan akar umbi bagi memastikan Malaysia terus melahirkan pemain muda berkualiti yang mampu menggalas cabaran di pentas antarabangsa. Beliau juga menyifatkan pengurusan liga domestik yang lebih profesional perlu diberikan perhatian serius.

Bekas penyerang Kuala Lumpur (KL) City, Johor Darul Ta’zim (JDT), Pelita Jaya dan Selangor itu turut mahu Malaysia mencontohi Jepun, yang kini dipimpin bekas bintang kebangsaan mereka, Tsuneyasu Miyamoto sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA). Malah, di Singapura, kapten skuad kebangsaan, Harris Harun turut diberi kepercayaan sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Singapura.

Di Malaysia ketika ini, dua bekas pemain berada dalam barisan kepimpinan FAM iaitu Datuk Dollah Salleh selaku Naib Presiden serta Datuk Zainal Abidin Hassan yang dipilih sebagai ahli Exco dalam Kongres FAM Februari lalu. Namun, Safee percaya lebih ramai bekas pemain wajar diberi peluang bagi memberi nafas baharu kepada hala tuju bola sepak negara.

“Tiada masalah untuk saya bekerjasama dengan mana-mana bekas pemain yang kini berada dalam FAM. Malah, saya berpendapat lebih ramai bekas pemain patut diberi ruang untuk berada dalam kepimpinan agar suara bola sepak dapat disegarkan dengan pengalaman mereka,” tambah Safee lagi.

Kerusi Presiden FAM kini kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Joehari Ayub meletakkan jawatan Jumaat lalu. Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Selasa menerima peletakan jawatan itu, dengan Timbalan Presiden, Datuk Wira Yusof Mahadi kini memangku tugas sehingga Kongres pemilihan diadakan tahun depan.