BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah membuka peluang menebus kehampaan Olimpik Paris apabila mara ke final Kejohanan Badminton Dunia selepas menumbangkan gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Dalam aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle, pasangan negara itu bangkit penuh dramatik sebelum menundukkan beregu nombor tiga dunia 14-21, 21-13, 21-12 dalam tempoh 68 minit.
Set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah goyah apabila tunduk 14-21, namun kebangkitan mereka pada set kedua dengan corak serangan lebih tajam memastikan kemenangan 21-13 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Kekentalan mental dan fokus tinggi menjadi kunci di set ketiga apabila pasangan negara menutup perlawanan bergaya 21-12 untuk mencipta sejarah mara ke pentas final Kejohanan Dunia buat kali pertama.

Pearly Tan-M Thinaah boleh mengubati kekecewaan pulang dari Olimpik Paris tanpa pingat, setelah ke final Kejohanan Dunia di gelanggang yang sama.
“Sejujurnya ia perjalanan yang sangat berliku, hanya kami berdua dan jurulatih tahu apa yang dilalui sejak dua minggu lalu, tetapi saya amat bersyukur kerana semua orang tidak pernah berputus asa terhadap kami,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bagi Pearly pula, dia mengakui sentiasa risaukan pasangannya itu dan memilih untuk terus memberi sokongan tanpa henti, sambil menegaskan kepercayaan antara mereka menjadi kunci kebangkitan.
“Kunci utama hari ini adalah terus menyokong sesama sendiri, bertenang, bersabar dan menikmati setiap mata tanpa meninggalkan sebarang kekesalan di gelanggang,” ujar Pearly.
Final esok bukan sekadar peluang julang gelaran dunia sulung, malah menjadi detik bersejarah buat badminton negara apabila beregu wanita Malaysia berpeluang menamatkan penantian panjang kejuaraan dunia.