KETUA jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain menegaskan kemenangan besar 7-0 ke atas Mongolia dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia B-23 2026 semalam bukan alasan untuk leka, sebaliknya mahu anak buahnya memberi tumpuan penuh menjelang aksi penentuan bertemu Thailand.
Menurut Nafuzi, kemenangan itu sememangnya wajar diraikan selepas skuad muda negara bangkit daripada kekalahan pada aksi pembukaan, namun beliau mengingatkan cabaran sebenar masih menanti apabila berdepan tuan rumah yang dilihat lebih sukar untuk ditundukkan.
“Alhamdulillah, kita berjaya dapat tiga mata yang penting dan perlu meraikannya. Ia kemenangan besar dengan keputusan 7-0 dan sememangnya menggembirakan pasukan. Tetapi dalam kempen ini, hanya kemenangan menentang Thailand akan benar-benar memastikan hala tuju kita,” kata Nafuzi selepas perlawanan.
Beliau mengakui perubahan taktikal serta lonjakan motivasi pemain menjadi faktor utama kebangkitan selepas tewas pada aksi sulung, selain keyakinan pasukan semakin meningkat hasil deretan jaringan yang dihasilkan. “Kita buat sedikit perubahan dari segi taktikal walaupun dengan pemain yang sama. Paling penting, pemain mendapat peluang dan berjaya menjaringkan gol,” jelasnya.
Nafuzi turut mengimbau pengalaman ketika beraksi dalam kejohanan Mandiri Cup di Jakarta, Julai lalu apabila Malaysia juga berdepan situasi hampir sama – tewas perlawanan pertama, kemudian bangkit pada aksi kedua, sebelum menentang pasukan tuan rumah di perlawanan terakhir.
“Skripnya hampir sama. Aksi terakhir menentang Thailand pasti sukar, tetapi kita perlu percaya dengan usaha kita dan yakin Allah akan membantu,” katanya.
“Yang paling utama, kita perlu bekerja keras,” tegas Nafuzi yang mahu barisan mudanya mengekalkan disiplin dan fokus sehingga wisel penamat aksi terakhir peringkat kumpulan F pada Selasa ini.