PASUKAN petanque lelaki UiTM terus membuktikan dominasi mereka apabila berjaya mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam perlawanan akhir SUKANUN 2025 yang berlangsung di Gelanggang Petanque UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, pagi tadi.
Sementara itu, skuad wanita UiTM terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam aksi penentuan juara.
Pengurus pasukan, Prof. Madya Dr. Shahsuzan Zakaria, menyifatkan kejayaan kali ini sebagai luar biasa selepas UiTM mengekalkan konsistensi sejak daripada Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) dan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM), sebelum melengkapkan koleksi emas di SUKANUN 2025.
Beliau turut memuji percaturan bijak ketua jurulatih, Syed Ali, yang dilihat berjaya merencana strategi mantap bagi memperkukuh kekuatan pasukan.
Kategori lelaki edisi kali ini menyaksikan saingan daripada 15 pasukan pelbagai agensi badan berkanun, manakala kategori wanita melibatkan sembilan pasukan.
Dengan tirai kejohanan empat hari itu dilabuhkan hari ini, UiTM sekali lagi menegaskan komitmen mereka untuk terus mendominasi arena petanque kebangsaan menerusi pembangunan bakat serta penglibatan aktif di pelbagai peringkat.
petanque lelaki uitm kekal juara sukanun 2025