ATLET olahraga negara semakin menyerlah di pentas antarabangsa apabila beberapa rekod kebangsaan berjaya diperbaharui tahun ini, sekali gus meniup keyakinan bahawa skuad negara mampu mencabar pingat emas di Sukan SEA 2025.

Pelari jarak jauh, Kristian Tung menjadi tumpuan utama apabila melakar dua rekod baharu dalam tempoh kurang sebulan. Pada 20 Ogos lalu, Tung meleburkan rekod lama 40 tahun acara 3,000 meter dengan catatan 8 minit 15.81 saat, mengatasi rekod milik S. Muthiah (8:27.00). Lebih membanggakan, 16 hari kemudian beliau memperbaharui pula rekod 10,000 meter jalan raya dengan catatan 30.07 saat di Rotterdam, Belanda, sekali gus memadam rekod M. Sanjay (31.01 saat) yang dicipta di Songkhla Marathon.

Bukan sahaja Tung, lontar peluru negara juga menunjukkan peningkatan ketara. Jonah Chang Rigan membuktikan kehebatannya di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) apabila melakukan lontaran sejauh 18.66 meter, mengatasi rekod peribadinya sebelum ini (18.46m). Catatan tersebut bukan sekadar rekod kebangsaan, malah lebih baik daripada balingan emas Sukan SEA dua edisi terdahulu – 17.84m di Kemboja 2023 dan 18.14m di Hanoi 2022.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli melihat perkembangan ini sebagai petanda positif, namun dalam masa sama mengingatkan bahawa prestasi sebegini perlu diterjemahkan di pentas Sukan SEA. Baginya, memperbaharui rekod adalah pencapaian penting, tetapi yang lebih utama adalah membuktikan keupayaan merebut emas di temasya serantau.

“Sekarang ini memang ada yang memecahkan rekod kebangsaan tetapi sasaran sebenar ialah di Sukan SEA. Kalau Tung hebat dalam 3,000m dan 10,000m, buktikan di acara temasya sebenar. Kita mahu lihat peningkatan ini membawa hasil pingat emas,” katanya.

Tambahnya, dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, skuad olahraga negara wajar menjadikan edisi 2025 sebagai medan membina momentum. Pencapaian Kristian Tung dan Jonah Chang menjadi bukti bahawa atlet Malaysia berada di landasan tepat untuk mencabar dominasi negara serantau.

Dengan peningkatan catatan demi catatan, sukan olahraga tanah air kini berada dalam fasa kebangkitan yang diyakini mampu memberi sinar emas buat kontinjen negara di Sukan SEA Bangkok 2025 nanti.