SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya tidak akan berhubung dengan FIFA berhubung isu penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

SPRM berkata siasatan awal mendapati tiada asas kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Akta SPRM 2009 berkaitan dokumen yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Berdasarkan semakan awal, isu ini dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Kenyataan Media SPRM berhubung siasatan susulan isu pemain warisan bola sepak kebangsaan.

SPRM menjelaskan pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mengadakan pertemuan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan dokumen berkaitan permohonan kewarganegaraan pemain terbabit.

Namun, hasil semakan itu hanya menunjukkan aspek teknikal dan bukan kesalahan rasuah yang membolehkan tindakan undang-undang diambil di bawah peruntukan sedia ada.

“Sehubungan itu, SPRM tidak akan berhubung dengan pihak FIFA dan menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada pihak FAM untuk diselesaikan bersama FIFA,” jelas kenyataan itu lagi.

SPRM turut menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara FAM dengan FIFA yang masih berlangsung.

Kenyataan rasmi itu hadir selepas FIFA mengenakan denda dan menggantung tujuh pemain warisan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses pendaftaran FAM.