PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya bersuara mengenai hukuman FIFA dengan menegaskan badan induk itu sedang menunggu keputusan penghakiman penuh sebelum mengemukakan rayuan rasmi mengikut proses undang-undang yang ditetapkan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dalam kenyataan media FAM mengakui wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen, yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran. Bagaimanapun, beliau menegaskan isu itu tidak menjejaskan status pemain warisan negara yang sah sebagai rakyat Malaysia.

“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran. FAM mengambil serius perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Penggantungan 12 bulan dan denda yang dikenakan FIFA ke atas tujuh pemain utama skuad Harimau Malaya serta FAM kini menjadi tamparan hebat, dengan rayuan rasmi bakal menentukan sama ada peluang untuk meringankan hukuman masih terbuka.

Kenyataan FAM itu hadir selepas pelbagai pihak, termasuk penyokong dan tokoh bola sepak tanah air, mendesak penjelasan lebih telus berhubung kemelut tersebut yang dikatakan memberi kesan besar kepada reputasi negara di pentas antarabangsa.

FAM kini berada dalam tempoh 10 hari untuk melengkapkan proses rayuan, sekali gus menjadikan tempoh singkat ini sebagai ujian besar dalam memastikan hak pemain serta maruah skuad Harimau Malaya terus dipertahankan.

Sementara itu, persoalan mengenai bagaimana dokumen teknikal itu boleh tersilap serahan masih menjadi tanda tanya, dengan harapan penjelasan penuh bakal didedahkan selepas keputusan penghakiman lengkap FIFA diterima.