KELANTAN The Real Warriors FC (KTRW) berdepan misi penting menentang Terengganu FC esok dalam aksi Derbi Pantai Timur, dan penyerangnya, Sean Selvaraj menjelaskan bahawa pasukannya bersedia untuk membawa pulang tiga mata penuh ke Kota Bharu.

Jelas Sean, meskipun pasukannya ketinggalan dua mata dengan Sang Penyu, namun semangat juang TRW masih tinggi untuk menewaskan rakan Pantai Timur itu.

“Kita semua faham betapa pentingnya perlawanan esok, beza dua mata dengan Terengganu FC jadi motivasi tambahan untuk semua pemain.

“Persiapan kita berjalan lancar, kita akan turun dengan semangat juang tinggi untuk pastikan tiga mata dibawa pulang ke Kota Bharu.

“Derbi ini tentang maruah dan kebanggaan The Real Warriors. Janji saya kepada penyokong, kita akan berikan segalanya di padang dan berjuang sampai wisel penamat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Sean menekankan TRW juga sudah siap sedia bertahan secara berpasukan dengan menerapkan disiplin serta fokus yang tinggi untuk menerima ancaman Terengganu FC.

Sean mengakui Terengganu mempunyai kekuatan tersendiri, apatah lagi apabila beraksi di gelanggang sendiri. Namun, beliau menegaskan TRW tidak gentar dan tetap bertekad untuk merencatkan misi kemenangan tuan rumah.

Penyokong Kelantan pastinya menaruh harapan tinggi agar pasukan pulang dengan keputusan positif. Untuk rekod, TRW kini berada di kedudukan keenam Liga Super, manakala Sang Penyu selesa di kedudukan ketiga carta.