KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) berjaya membuka mata banyak pihak di Asia dan segalanya berkaitan JDT diperkatakan di pelbagai platform sama ada rasmi atau tidak rasmi.

Ramai maklum bahawa kejayaan JDT ini berpunca daripada visi dan misi yang jelas oleh pemiliknya, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang berjaya mengubah bukan sahaja JDT malah landskap bola sepak negara.

Tetapi usaha keras TMJ tidak akan membuahkan hasil sekiranya Baginda tidak melantik individu-individu yang tahu akan perkara yang mereka lakukan. Jawatan-jawatan ‘backroom staff‘ JDT sememangnya diisi oleh mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

Alistair Edwards, bekas pemain Johor dilantik sebagai Pengarah Teknikal Kelab. Dengan pengalaman Alistair sebagai pemain dan pengurus ianya banyak membantu JDT dalam memastikan setiap perkara berkaitan teknikal sentiasa mengikuti peredaran arus bola sepak moden.

Beliau dibantu oleh Martin Prest yang memegang jawatan Pengarah Sukan yang bertanggungjawab terhadap pembelian pemain import berkualiti dan pencari bakat tempatan. Pengalaman beliau sebagai ejen pemain jelas membantu JDT mendapat pemain yang dikehendaki bahagian teknikal.

Tugas Benjamin Mora menjadi lebih mudah apabila beliau hanya perlu menumpukan perhatian terhadap latihan dan taktikal dan menaikkan motivasi para pemain bagi mencapai keputusan yang cemerlang di dalam padang.

Mora dibantu Salazar Mejia Gian Carlo dan pelatih penjaga gol, Elorza Dominguez Jon yang bertindak berdasarkan analisis taktikal yang disediakan oleh penganalisis, Haydee Agras yang semakin mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Tugas menilai kecergasan pemain menjadi tanggungjawab Alvarez Jorge. Beliau banyak menggunakan peralatan canggih berdasarkan pendekatan sains sukan bagi memastikan setiap pemain JDT cergas dan dapat pulih dengan lebih cepat.

Alvarez Jorge turut dibantu pakar nutrisi yang baru dilantik dari Boca Juniors, Vanesa Soledad Rotondi yang akan mengawal pemakanan dan diet setiap pemain bagi memastikan mereka berjaya beraksi secara optimum.

Kecederaan dan pemulihan pemain adalah perkara yang biasa dalam bola sepak. Dr Abdul Razak Ahmad memikul tanggungjawab sebagai doktor pasukan yang akan memastikan setiap diberikan rawatan yang pantas di tepi padang serta penilaian kesihatan menyeluruh selepas setiap permainan.

Dr Razak dibantu pula oleh Antonio Manzanera yang bertindak sebagai fisioterapis pasukan. Tugas beliau adalah mengurut dan memastikan setiap pemain bersedia sebelum permainan dan pulih segera selepas perlawanan.

Kejayaan JDT bukan hanya diatas padang malah merangkumi ke luar padang. Kakitangan tempatan dan luar negara banyak membantu menaikkan nilai komersil kelab menerusi pengurusan stadium milik JDT, Stadium Sultan Ibrahim dan laman rasmi kelab yang turut dikenali sebagai Johor Southern Tigers itu.

Individu-individu hebat yang dilantik inilah menjadi tulang belakang yang membantu DYAM Tunku Ismail membina jenama JDT sehingga berjaya kini sejak penubuhan kelab pada 2013.

Ia juga membuktikan duit bukanlah segala-galanya tetapi meletakkan individu yang tepat dengan kepakaran masing-masing adalah kunci kepada kejayaan JDT.