DUA bintang Olimpik negara, Khiew Hoe Yean dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, mengesahkan status jaguh sebenar apabila dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (ASWP) 2023/2024, hari ini (Khamis).
Majlis penuh gemilang di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya itu menyaksikan kedua-dua atlet kebanggaan ibu kota membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM8,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Khiew Ho Yean menerima anugerah daripada Menteri WP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Hoe Yean, 23, terus membuktikan dominasinya di kolam renang selepas mengetepikan dua pencabar hebat, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim, sekali gus mengembalikan aura emas buat sukan renang selepas lebih sedekad menanti.
Kali terakhir anugerah tertinggi itu dimenangi perenang adalah menerusi Ian James Barr pada edisi 2013/2014 dan kini Hoe Yean menulis semula sejarah dengan penuh bermakna.
Dalam kategori wanita, Ariana, 20, tampil persis ‘pemanah emas’ apabila membidik tepat gelaran Olahragawati Wilayah Persekutuan, mengetepikan pesaing dari sukan boling padang dan wushu untuk dinobatkan ratu sukan ibu kota.

Ariana Nur Damia Zairi menerima anugerah daripada Menteri WP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Pemanah recurve muda, sebelum ini mencipta sensasi apabila layak ke Olimpik Paris 2024 dalam dua acara individu dan berpasukan, hasil aksi luar biasa di Kejohanan Kelayakan Benua Asia dan Final Olympic Qualifier di Paris.
Sukan renang terus menguasai malam penuh prestij itu apabila dua perenang muda, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Chong Xin Lin, diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Wilayah Persekutuan.
Turut mencuri tumpuan, legenda para negara Cheah Liek Hou mengukuhkan statusnya dengan gelaran Olahragawan Para, manakala perenang Asyiil Raziin Razman dan pasukan bola jaring Wilayah Persekutuan masing-masing melengkapkan hari penuh gemilang untuk sukan tanah air.