BINTANG baharu pelumba Malaysia, Hakim Danish Ramli, terus mencipta sejarah baharu dalam kariernya apabila disahkan bakal beraksi secara tetap dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kelas Moto3 musim 2026 bersama pasukan MSi Racing Team.
Pengumuman rasmi itu secara tidak langsung mengakhiri tanda tanya mengenai hala tuju karier pelumba berusia 18 tahun dari Terengganu itu, selepas beliau menutup musim Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 dengan keputusan cemerlang di tempat ketiga keseluruhan — satu pencapaian membanggakan buat pelumba muda negara.
Prestasi konsisten sepanjang musim menjadi faktor utama pelantikan Hakim Danish sebagai pelumba tetap Moto3, dengan aksi cemerlangnya dalam FIM JuniorGP (JrGP) serta beberapa penamat podium penting dalam RBMRC dilihat sebagai bukti kemampuan dan potensi besar dimilikinya.
Aksi meyakinkan ketika beraksi sebagai wildcard di Grand Prix (GP) Malaysia minggu ini turut menarik perhatian pengurusan MSi Racing, yang kemudiannya menawarkan kontrak penuh kepada anak jati Kuala Terengganu itu untuk beraksi dalam kejohanan dunia musim depan.
“Sudah tentu berita ini membuatkan saya sangat gembira dan memberi motivasi tambahan untuk beraksi minggu ini. Ini impian saya sejak kecil dan saya berjanji akan memberikan segalanya tahun depan,” kata Hakim Danish yang kini dianggap antara pelumba muda paling menyerlah di rantau Asia.
Sementara itu, Pengurus Pasukan MSi Racing, Óscar Manzano, berkata penyertaan Hakim Danish sejajar dengan falsafah pasukan untuk membangunkan pelumba muda berbakat dari peringkat akar umbi ke kelas tertinggi MotoGP.
“Kami berbangga dapat membawa Hakim Danish ke Kejuaraan Dunia Moto3. Ia selari dengan visi pasukan untuk membimbing pelumba dari kategori bawah hingga ke peringkat tertinggi,” katanya.
Dalam musim 2026 nanti, Hakim Danish bakal digandingkan dengan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka, selepas rakan sepasukannya ketika ini, Angel Piqueras, disahkan akan beralih ke saingan Moto2.