TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 mendapat lampu hijau apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar penganjurannya diteruskan dengan pendekatan lebih berhemah.

Perkenan itu diperoleh selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 23 April lalu bagi membincangkan kedudukan temasya dwitahunan berkenaan.

SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini sebelum ini mencetuskan perbincangan mengenai kemungkinan penangguhan susulan faktor ekonomi global dan peningkatan kos penganjuran, namun diteruskan demi kesinambungan pembangunan atlet muda.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari, merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan baginda serta berterima kasih kepada Perdana Menteri yang mengutamakan kepentingan atlet.

“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor susulan inisiatif perbincangan oleh YAB Perdana Menteri, khususnya keprihatinan terhadap atlet-atlet muda yang wajar terus diberi peluang bertanding di peringkat tertinggi,” katanya.

Menurut beliau, SUKMA 2026 bukan sahaja platform pertandingan, malah menjadi medan persiapan ke arah Sukan SEA 2027, dengan kerajaan negeri Selangor komited memastikan kelancaran penganjuran serta satu mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi akan diadakan pada 30 April bagi membentangkan status persiapan dan langkah penjimatan.