RAJA Langit, Onic Esports sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila mengekalkan kejuaraan di Mobile Legends Professional League Indonesia (MPL ID) Musim 16 selepas menundukkan Alter Ego dalam aksi di Grand Final.
Kemenangan ini mengukuhkan reputasi Onic sebagai pasukan terkuat di Indonesia selepas turut menjulang trofi pada musim lalu.Walaupun tewas pada perlawanan pertama, Onic tidak goyah dan segera bangkit dengan corak permainan tersusun serta disiplin tinggi.
Onic menutup siri akhir dengan keputusan 4-1 menentang Alter Ego sekaligus mempertahankan mahkota juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sekitar (RM 350,000). Kejayaan ini turut menambah koleksi trofi mereka yang semakin menggunung sejak beberapa musim kebelakangan.
Pemain sensasi mereka, Kairi, menjadi tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik (Final MVP) hasil prestasi luar biasa sepanjang kejohanan. Pemain muda dari Filipina itu turut menerima ganjaran sekitar (RM7,000) atas sumbangannya yang besar membawa Onic ke puncak.
Alter Ego pula tidak pulang tangan kosong dengan membawa pulang hadiah wang tunai sekitar (RM221,000) serta menempah slot ke Kejohanan Dunia M7 selepas menampilkan semangat juang tinggi walaupun tewas di pentas akhir.
Kedua-dua pasukan, Onic dan Alter Ego, kini sah menempah slot ke M7 yang bakal menemukan pasukan terbaik dunia dalam Mobile Legends dan kejohanan berprestij itu dijadual berlangsung di Indonesia pada Januari 2026.