MASA depan ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali masih belum dimuktamadkan ketika prestasi pasukan itu menjadi bahan perbincangan penyokong. Bagaimanapun, pengurusan kelab menegaskan tiada keputusan terburu-buru akan dibuat.

Ketua Pegawai Eksekutif Peteh, Sheikh Farouk Sheikh Mohamad berkata, sebarang keputusan mengenai kedudukan Badrul perlu melalui proses penilaian yang rapi termasuk Jawatankuasa Teknikal serta kelulusan lembaga pengarah.

“Buat masa ini, tiada keputusan yang dibuat. Kita masih berada dalam kelompok lima terbaik liga, malah kini di tangga keempat. Jadi pasukan masih berada di landasan yang betul,” jelasnya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Mills sebagai Rakan Strategik Kasut Rasmi Terengganu musim 2025/2026.

Majlis pengumuman rasmi MILLS sebagai Rakan Strategik Footwear Rasmi Terengganu FC bagi musim 2025/2026 telah berlangsung di Holiday Inn Bangsar, Kuala Lumpur. Program ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn. Bhd., Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, barisan pengurusan kelab, serta pemain Terengganu FC Yann Mabella dan Khalaif Naskam. FOTO:TFC

Isu kedudukan Badrul kembali hangat diperkatakan selepas beberapa keputusan kurang meyakinkan, termasuk kekalahan besar 5-0 kepada Johor Darul Ta’zim serta kegagalan mara ke separuh akhir Piala FA selepas disingkirkan Kuching City FC.

Badrul sebelum ini turut diminta menjelaskan prestasi pasukan dan menyatakan beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan masa depannya kepada pihak pengurusan.

Namun, Sheikh Farouk menegaskan fokus kelab ketika ini adalah persiapan untuk perlawanan seterusnya.

“Kita tumpu kepada aksi menentang Negeri Sembilan pada 22 November. Itu keutamaan sekarang.”

Terengganu dijangka tampil dengan misi pemulihan moral dan prestasi, sekali gus menjadikan aksi menentang Negeri Sembilan sebagai pentas penentu momentum kebangkitan — atau tekanan baharu.