KETENANGAN di jentera tengah Negeri Sembilan mungkin hanya bersifat sementara, namun Sang Rusa jelas tidak mahu terperangkap tanpa persiapan. Di sebalik prestasi meyakinkan Alex Agyarkwa sejak tiba secara pinjaman dari Selangor FC, pengurusan kelab sudah pun menyediakan pelan alternatif sekiranya pemain Ghana itu dipanggil pulang ke Merah Kuning pada tetingkap perpindahan kedua Januari nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus mengakui pihaknya maklum tentang kemungkinan tersebut dan tidak mahu tunggu sehingga saat akhir untuk bertindak. Menurutnya, beberapa nama berpotensi sudah dikenal pasti sebagai pengganti sekiranya Agyarkwa meninggalkan pasukan ketika musim masih berjalan.
“Kita pun ambil maklum juga dengan kemungkinan Alex dipulangkan. Jadi, kita sudah ada pelan B untuk atasi situasi itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Mills Sebagai Rakan Strategik Kasut Rasmi Terengganu FC untuk musim 2025/2026.
Agyarkwa, yang menyertai Sang Rusa secara pinjaman awal musim ini, menjadi antara watak penting kebangkitan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super 2025/26. Dengan satu gol dan tiga bantuan jaringan daripada lapan penampilan, pemain itu dianggap nadi utama yang menghubungkan pertahanan dan jentera serangan dengan penuh ketenangan dan visi permainan yang matang.
Namun, populariti dan peningkatan prestasinya juga membuka ruang buat Selangor memanggilnya semula, terutama jika Red Giants memerlukan suntikan kreativiti tambahan ketika memasuki fasa penting musim.
Justeru, selain memantau situasi Agyarkwa, Faliq turut mengesahkan Negeri Sembilan sedang memperkemaskan rancangan perpindahan mereka untuk Januari nanti, dengan tumpuan utama terarah kepada bahagian pertahanan dan tengah.
“Saya boleh sahkan akan ada aktiviti perpindahan pada Januari. Kita pun sudah mula buat senarai pendek pemain berpotensi terutama di bahagian pertahanan dan tengah kita. Insya-Allah, ada perkembangan terkini, kita akan maklumkan tidak lama lagi,” ujarnya.
Mesejnya jelas — nilai seorang pemain tidak boleh diikat dengan sentimen semata-mata, tetapi prestasi pasukan perlu diberi keutamaan. Negeri Sembilan mungkin sangat menghargai Agyarkwa, tetapi mereka juga bersedia jika terpaksa melepaskannya.