SKUAD muda Akademi Cobra, Cobra Blacks, mendominasi sepenuhnya Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (C10s) Mini 2025 bagi kategori bawah 15 tahun (B15) yang berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya.
Lebih mengagumkan, Cobra Blacks berjaya mengekalkan rekod sempurna dalam semua lima perlawanan peringkat awal dan perlawanan akhir tanpa membenarkan pasukan lawan menjaringkan sebarang mata.
Ketua Jurulatih Akademi Cobra, Datuk Aldillan Anuar, berkata, disiplin, hormat, integriti, semangat, dan solidariti menjadi asas kepada pasukannya, tidak kira sama ada menang atau kalah.
“Terdapat pemain yang tidak terpilih atau mewakili sekolah lain, tetapi tetap saling menyokong satu sama lain sepanjang kejohanan. Ia menepati sasaran akademi yang menetapkan budaya seimbang antara prestasi dan nilai teras.
“Keseluruhannya Akademi Cobra telah menghantar tiga pasukan ke kejohanan berkenaan iaitu dua ke kategori B15 (Blacks dan Stingers) dan satu daripada B16.
“Pasukan B16 menduduki tempat ke-4 daripada 10 pasukan. Daripada 12 pasukan, Cobra Stingers B15 ditempat ke-7 manakala Cobra Blacks muncul juara bagi kategori mereka,” ujarnya.
Menerusi lima perlawanan peringkat kumpulan, pasukan Cobra Blacks B15 telah meraih purata 31 mata dalam setiap perlawanan tanpa balas.
Sementara dalam perlawanan akhir, pasukan ini telah menewaskan pasukan KL Saracens dengan keputusan 28-0.
Keseluruhannya, Cobra Blacks telah merekodkan sejumlah 184 mata daripada enam perlawanan sekali gus membuktikan struktur pertahanan pasukan yang efektif dengan strategi serangan berbisa. – habis