HAMPIR 500 peserta seni bela diri berkumpul di SK Bukit Rimau,Seksyen 32 Shah Alam sempena Kejohanan Kesenian & Kebudayaan Seni Bela Diri Taekwondo Antara Sekolah-Sekolah (Peringkat Negeri Selangor) yang berlangsung pada Ahad.
Acara anjuran Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia dengan sokongan padu *Jabatan Pendidikan Negeri Selangor*, Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja, Pejabat DUN Kota Kemuning dan Pejabat DUN Sentosa ini menghimpunkan pelajar berusia 6 hingga 17 tahun daripada pelbagai daerah di Selangor.
Presiden Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia merangkap Pengerusi Kejohanan, *Master Dr. S. Edwin*, menyatakan bahawa penyertaan yang begitu memberangsangkan menggambarkan minat tinggi pelajar dan ibu bapa terhadap taekwondo sebagai seni bela diri dan aktiviti kokurikulum.

“Taekwondo bukan sekadar sukan, tetapi sebuah seni bela diri dan warisan kebudayaan Korea. Di Malaysia, ia telah menjadi pilihan utama dalam kalangan ibu bapa dan pelajar. Selain membina disiplin, ketangkasan dan sahsiah diri, taekwondo juga menjadi jambatan perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Kejohanan kali ini turut memperkenalkan acara baharu, *Speed Kick*, yang mempamerkan teknik tendangan laju dan kawalan pergerakan kreatif. Acara ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar serta ibu bapa yang teruja menyaksikan kepantasan dan kreativiti anak-anak mereka.
Master Dr. Edwin turut menekankan bahawa penganjuran kejohanan seperti ini memainkan peranan penting dalam pembentukan karakter pelajar.

“Penyertaan aktif dalam seni bela diri dapat mengurangkan risiko *kes buli di sekolah*, kerana murid dilatih mengawal emosi, menghormati rakan dan mengamalkan disiplin tinggi. Apabila pelajar terlibat dalam program positif seperti ini, ia secara langsung mengalihkan mereka daripada pengaruh negatif,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa kejohanan peringkat negeri ini bukan sahaja memberikan pendedahan kompetitif, tetapi turut meningkatkan keyakinan diri dan rasa bangga dalam kalangan pelajar. Selain itu, penyertaan ini menyumbang markah penting dalam Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Kejohanan turut dimeriahkan dengan kehadiran dua pemimpin negeri iaitu *YB.Prekas Sambunathan (ADUN Kota Kemuning)* diikuti *YB.Dr. Gunaraj George ( Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Y.A.B.Dato’ Menteri Besar Selangor Merangkap Ahli Dewan Negeri Selangor N.48 Sentosa)* sebagai tetamu khas. Kehadiran mereka bukan sahaja memberi kata-kata semangat kepada para peserta, malah membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan, pembangunan belia serta seni budaya di peringkat sekolah.
“Saya yakin dengan sokongan berterusan, taekwondo akan terus berkembang sebagai aktiviti kesenian dan kebudayaan yang memperkukuh disiplin, perpaduan dan kecemerlangan dalam kalangan pelajar Malaysia,” kata Master Dr. Edwin.