KRISIS pemalsuan dokumen yang melanda bola sepak negara memasuki fasa lebih serius apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam isu sijil kelahiran tujuh pemain naturalisasi.
Siasatan ini bukan sahaja bertujuan mengenal pasti ‘dalang’ di sebalik pemalsuan tersebut, tetapi juga menilai tahap pematuhan, integriti, dan keberkesanan sistem tadbir urus FAM yang kini dipersoalkan secara global.
Menurut keputusan bertulis Jawatankuasa Rayuan FIFA, tumpuan awal siasatan akan melibatkan tiga individu utama — Setiausaha Agung FAM yang digantung tugas, Noor Azman Rahman, serta dua ejen berlesen FIFA, Nicolas Puppo dan Frederico Moraes.

“Penglibatan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh,” tegas Jawatankuasa Rayuan FIFA dalam surat penghakiman tersebut.
Arahan siasatan itu diberikan kepada sekretariat Jawatankuasa Disiplin FIFA, sekali gus membuka ruang kepada tindakan lanjut sekiranya wujud bukti kukuh terhadap mana-mana pegawai FAM yang gagal mematuhi peraturan badan dunia itu.
Awal bulan ini, jawatankuasa sama mengekalkan semua hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain naturalisasi selepas FAM gagal membuktikan sebaliknya dalam rayuan mereka. FIFA sebelum ini mendapati dokumen yang dihantar FAM sebelum aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu mengandungi maklumat palsu.

FAM sebelum ini dikenakan denda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss (sekitar RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Kontroversi itu turut membawa kepada penggantungan Noor Azman sebagai Setiausaha Agung FAM — perkembangan yang kini menjadi antara fokus utama siasatan FIFA.