Seorang bakat berbasikal muda dari Terengganu kini mula mencuri perhatian di Melbourne, Australia apabila menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam perlumbaan trek dan lebuhraya. Sayed Izz Ziqry Al Habshee, 12 tahun, kini giat menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi musim perlumbaan sepanjang musim panas di sana.

Ziqry, anak kepada bekas atlet Taekwondo Terengganu dan Malaysia, Sayed Fuad Alhabshee, menjalani rutin latihan yang cukup disiplin — enam kali seminggu dengan tempoh antara 10 hingga 12 jam sehari. Segala persiapan dilakukan di bawah bimbingan bapanya sendiri, yang juga aktif sebagai pelumba bersama TSS Cycling Club.

Walaupun masih muda, disiplin yang diterapkan mencerminkan impian besarnya untuk suatu hari nanti menyarung jersi Terengganu dan Malaysia.

Ketika mewakili Brunswick Cycling Club, Ziqry berjaya menamatkan siri perlumbaan lebuhraya musim sejuk dalam kelompok 10 terbaik kategori bawah 13 tahun, satu petunjuk jelas terhadap kemampuan teknikal dan daya saingnya.

Sayed Fuad, yang juga pelumba TSS Cycling Club, turut menyentuh mengenai cabaran beraksi di Australia yang terkenal dengan standard tinggi dalam sukan berbasikal.

“Kita nak lihat setakat mana kemampuan dia bersaing dengan pelumba tempatan yang berbakat. Ini medan terbaik untuk menilai perkembangan sebenar,” katanya

Dengan asas latihan yang konsisten, keputusan yang memberangsangkan serta sokongan keluarga yang kuat, Ziqry dilihat berpotensi besar menjadi salah seorang pelumba masa depan negara sekiranya perkembangan positif ini berterusan.

TAMAT