PASUKAN bola sepak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuktikan dominasi mereka dalam bola sepak Institusi Pengajian Tinggi di Perak apabila muncul juara Perak Football Varsity Challenge (PFVC) 2025 buat tahun kedua berturut-turut, menewaskan Sekolah Sukan Negeri Perak (SSN Perak) dalam aksi final penuh dramatik yang berkeputusan 2-2 sebelum menang 4-2 melalui penentuan sepakan penalti di Seri Iskandar, semalam.
Aksi final edisi kedua Piala YB Dato’ Khairudin Abu Hanipah itu menyaksikan permainan intensif sejak sepak mula, dengan UPSI membuka tirai jaringan menerusi tandukan kemas Muhammad Nazrul Afiz pada minit ke-45 hasil satu situasi sepakan sudut. Namun rentak permainan berubah selepas rehat apabila hujan lebat memaksa kedua-dua pasukan mengubah pendekatan.

Naib Juara : Sekolah Sukan Negeri Perak (SMK Gunung Rapat, Ipoh)
SSN Perak bangkit garang apabila Amir Hakimy menyamakan kedudukan pada minit ke-59 melalui rembatan deras dalam kotak penalti sebelum mereka merampas pendahuluan 2-1 pada minit ke-77 menerusi jaringan Muhammad Amarul Aiman. UPSI hampir tersungkur, tetapi semangat juang mereka tidak pernah padam—Muhammad Syahmi muncul wira lewat permainan apabila menyamakan kedudukan 2-2 dalam situasi kelam-kabut di depan gawang lawan, sekali lagi berpunca daripada sepakan sudut.
Perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan namun keadaan padang yang semakin sukar akibat hujan tidak menghasilkan tambahan jaringan. Penentuan penalti menjadi pemisah, dan ketenangan pemain UPSI serta dua kegagalan awal SSN Perak memastikan kejuaraan milik sang juara bertahan dengan kemenangan 4-2.

Ketiga : UiTM Cawangan Perak
Jurulatih UPSI, Mohd Azmin Abu Hassan mengakui mempertahankan gelaran bukan tugas mudah.
“Ini hasil usaha, disiplin dan komitmen setiap pemain sepanjang sesi latihan. Saya bersyukur dan sangat bangga dengan karakter pasukan. Terima kasih kepada penyokong dan penganjur kerana memastikan kejohanan berprestij ini terus berkualiti,” katanya.

Pemain Paling Bernilai : Puuveenthiran a/l Moganasuntaram (SSN Perak)
Sementara itu, UiTM Cawangan Perak menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Universiti Sultan Azlan Shah 2-0 dalam perlawanan penentuan yang berlangsung sebelah pagi, menerusi jaringan Muhammad Jamsyir dan Shaiful Alshaf.
UPSI membawa pulang Piala Pusingan serta hadiah wang tunai RM4,000, diikuti SSN Perak (RM2,000) dan UiTM Perak (RM1,500). Anugerah penjaring terbanyak menjadi milik Ariq Thaqif dari UniKL-RCMP dengan empat gol, manakala Puuveenthiran dari SSN Perak dinobatkan sebagai pemain paling bernilai (MVP) kejohanan.

Penjaring Terbanyak : Arif Thaqif Roszman – UniKL-RCMP (4 gol)
Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak atas sokongan yang membolehkan PFVC 2025 dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus memperkukuh pembangunan sukan peringkat IPT dan menjadi platform penting mencungkil bakat bola sepak negeri.
Edisi tahun ini disertai lapan pasukan: UPSI, UiTM Cawangan Perak, Universiti Sultan Azlan Shah, Universiti Teknologi Petronas, IPG Kampus Ipoh, UniKL-RCMP, Kolej Poly-Tech MARA Ipoh serta SSN Perak sebagai pasukan jemputan — menjadikan PFVC terus berkembang sebagai pentas utama bakat muda bola sepak negeri.