SKUAD bola sepak bawah 15 tahun (B-15) lelaki dan wanita negara akan menyertai Kejohanan Emerging Matildas dan Emerging Socceroos 2025 di Australia, menjadikan Malaysia pasukan antarabangsa pertama dijemput ke kejohanan berprestij itu.
Pengumuman rasmi dilakukan Football Australia selepas menerima pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengambil bahagian dalam kedua-dua kejohanan hasil daripada proses Pelawaan Minat (EOI) yang ditawarkan kepada beberapa negara ahli Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Penyertaan Malaysia disifatkan sebagai langkah penting dalam mengukuhkan kerjasama serantau dan pembangunan akar umbi bola sepak menerusi pendedahan antarabangsa. Kejohanan yang dijadual berlangsung pada Julai 2025 itu akan menghimpunkan bakat muda terbaik Australia di dua venue utama – Home of the Matildas di Melbourne dan Valentine Sports Park di Sydney.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menyifatkan peluang ini sebagai penghormatan besar buat bola sepak Malaysia serta bukti kepada komitmen FAM dalam memperkasa pembangunan belia negara. “Kejohanan ini bukan sahaja memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain kita, tetapi juga membuka ruang kerjasama teknikal dan pertukaran ilmu antara dua negara yang berkongsi aspirasi dalam pembangunan bola sepak akar umbi.”
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Interim Football Australia, Heather Garriock, penyertaan Malaysia merupakan titik tolak kepada hala tuju strategik baharu kejohanan tersebut. “Kehadiran Malaysia akan menambah nilai dan meningkatkan pengalaman pertandingan buat pemain muda kami di Australia,” katanya.
Kedua-dua kejohanan ini akan berlangsung dalam dua fasa — Emerging Socceroos dari 6 hingga 11 Julai di Melbourne dan Emerging Matildas dari 15 hingga 20 Julai di Sydney. Butiran lanjut termasuk jadual perlawanan dan senarai pemain akan diumumkan dalam masa terdekat.
Penyertaan ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam membina laluan jangka panjang yang mampan demi mencungkil generasi pelapis masa depan di pentas antarabangsa.