MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) yakin keputusan tuan rumah Sukan SEA Thailand 2025, memindahkan keseluruhan acara dari Songkhla ke Bangkok sebenarnya membuka ruang pengurusan lebih tersusun buat kontinjen negara.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali menegaskan perubahan lokasi itu bukan sekadar respon logistik, tetapi langkah yang memberi kelebihan pantauan lebih dekat terhadap atlet negara.
Beliau mengakui perpindahan tersebut tetap melibatkan peningkatan kos penerbangan, hotel dan pengangkutan, namun menyifatkannya sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam jangka masa pendek ini.
“Kita kekal dengan formula Kategori A dan B, di mana Kategori A ditanggung MSN, manakala Kategori B mungkin persatuan perlu cari dana tambahan,” katanya, selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad petanque ke Sukan SEA Thailand.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali yakin pengurusan atlet dan pegawai lebih mudah selepas acara di Songkhla dipindahkan ke Bangkok.
Mengulas logistik, Nasir berkata, pemindahan ke Bangkok menjadikan penyelarasan lebih mudah kerana “kita ada dua DCDM (Timbalan Ketua Kontinjen) dan pegawai MSN di lokasi sama, sekali gus memantau atlet dengan lebih efektif”.
Dalam isu makanan halal, Nasir optimis Thailand memahami keperluan negara-negara Islam dan memberi jaminan MOM akan mengangkat semula perkara itu dalam mesyuarat SEA Games Federation sebelum temasya bermula.
Beliau menegaskan peranan pengurus pasukan menjadi kritikal memastikan atlet sentiasa mendapat makanan halal dan selesa, sambil memaklumkan saluran bantuan MOM dan MSN sentiasa terbuka.