HARAPAN emas di gelanggang badminton lenyap sebaik beregu no.2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik rebah longlai di Gimnasium Thamasat Rangsit, Bangkok.
Berdepan Indonesia yang dibarisi majoriti pemain muda, skuad negara ternyata belum cukup ampuh menumbangkan mereka sehingga tewa 0-3 di final berpasukan lelaki.
Langkah sumbang skuad negara bermula dengan kekalahan Leong Jun Hao, yang gagal memberikan saingan jitu kepada pemain muda Indonesia, Alwi Farhan apabila tunduk 12-21, 19-21 dalam tempoh 46 minit.
Selepas itu, harapan skuad negara disandarkan kepada status no.2 dunia milik Aaron-Wooi Yik.

Leong Jun Hao gagal menyaingi Alwi Farhan. | FOTO BAM
Namun harapan tinggal harapan apabila mereka seolah-olah bukan tandingan Sabar Karyaman-Moh Reza Pahlevi yang berada di ranking kelapan dunia.
Aaron-Wooi Yik akur 12-21, 12-21 kepada lawan, sekali gus menjadikan kekalahan paling teruk sepanjang empat pertemuan antara kedua-dua beregu itu.
Ketinggalan 0-2, kem badminton negara mengharapkan kebangkitan menerusi perseorangan kedua, Justin Hoh yang menggalas tugas sukar untuk mengatasi pemain belasan tahun Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah.
Justin ternyata tidak mampu menyekat keampuhan Moh Zaki, apabila tunduk 12-21, 14-21 dalam masa 42 minit sekali gus pemain negara tunduk 0-3 dan akur dengan pingat perak.
Kali terakhir Malaysia menang emas berpasukan lelaki pada 2005, manakala Indonesia terus mempertahan emas yang dimenangi di Kemboja.