TEKANAN, debaran dan penantian akhirnya berbalas apabila skuad B-23 negara mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Sukan SEA 2025 sebagai naib juara terbaik, sekali gus meniupkan semula api keyakinan Harimau Muda untuk memburu pingat emas di bumi Thailand.

Kemaraan itu disahkan sebaik Indonesia menewaskan Myanmar 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan C, keputusan yang disambut dengan kelegaan besar oleh kem Malaysia selepas melalui kempen penuh cabaran sejak perlawanan pertama. Ketua jurulatih, Nafuzi Zain mengakui kejayaan mara ke separuh akhir amat bermakna buat pasukannya yang berdepan tekanan berterusan sepanjang saingan.

“Matlamat awal kami memang untuk ke separuh akhir, dan Alhamdulillah, sasaran itu berjaya dicapai. Selepas semua yang kami lalui, layak ke separuh akhir ini satu nikmat yang sangat bermakna,” katanya.

Dengan tiket separuh akhir di tangan, Nafuzi tidak berselindung dalam menetapkan sasaran baharu, malah lebih berani menyuarakan impian untuk melangkah ke final dan membawa pulang emas.

“Sekarang sasaran adalah final dan pingat. Sudah tentu emas. Kita cuma tinggal satu langkah lagi dan kami akan beri segala-galanya untuk itu,” tegasnya.

Malaysia bakal berdepan tuan rumah, Thailand pada 15 Disember, satu perlawanan yang dijangka menjadi ujian paling getir buat Harimau Muda. Nafuzi mengakui kekuatan Thailand, lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri, namun menegaskan pasukannya sudah bersedia secara mental dan taktikal.

“Thailand pasukan kuat, terutama bila beraksi di laman sendiri. Ia bukan perlawanan mudah. Pemain kena memberikan segalanya. Kami sudah belajar daripada pertemuan sebelum ini, terutama kesilapan yang kami lakukan,” jelasnya.

Menjelang separuh akhir, kem Malaysia menerima suntikan moral dengan potensi kembalinya penyerang utama, Haqimi Azim Rosli, yang ketiadaannya sebelum ini cukup dirasai dalam pembinaan serangan. Nafuzi memaklumkan barisan kejurulatihan sedang menilai keadaan pemain yang cedera dan digantung sebelum membuat keputusan akhir.

“Ada pemain cedera, ada digantung. Esok kami akan nilai siapa yang benar-benar pulih dan boleh berdepan Thailand. Tapi untuk Haqimi, kami jangka dia kembali menyertai persiapan separuh akhir,” katanya.

Walaupun terus dihimpit isu kecederaan dan pilihan pemain yang terhad, Nafuzi menegaskan situasi itu sudah menjadi ‘rutin pahit’ yang terpaksa ditelan pasukannya sepanjang kejohanan ini.

“Isu-isu ini memang dah jadi rutin untuk kami. Sampai ke separuh akhir pun kami masih berdepan situasi yang sama. Tapi kemanisannya datang bila kami layak,” katanya.

Dengan keyakinan yang semakin kukuh, Harimau Muda kini bersedia menggalas cabaran terbesar mereka setakat ini dengan menewaskan Thailand dan melangkah ke final Sukan SEA 2025.